Thursday, February 22, 2007

REMAJA PEMIMPIN NEGARA

REMAJA PEMIMPIN NEGARA


Remaja pada masa kini dikatakan bakal memimpin negara. Di samping itu pula, bagi remaja itu sendiri, zaman remaja merupakan zaman yang paling sukar untuk dilupakan. Sejauh manakah kebenaran tentang fakta itu?


Dewasa kini, terlalu ramai remaja yang rosak akhlak mereka. Siapakah yang harus dipersalahkan? Terlalu banyak faktor yang mendorong ke arah keruntuhan akhlak remaja. Lihat sahaja sekarang ini, pengaruh barat dapat mempengaruhi minda remaja sehingga seorang anak yang baik boleh menjadi jahat. Boleh kita perhatikan sekarang ini, sudah ada trand hiphop, underground, dan sebagainya. Namun itu hanyalah faktor- faktor yang boleh menjadi ikutan, tetapi dari manakah datangnya keinginan itu? Tentulah dari remaja itu sendiri. Memang tidak dinafikan, remaja merupakan golongan yang gemar mencuba. Sifat ingin mencuba itu akan lahir dari hati mereka dan ditambahkan lagi dengan pengaruh rakan- rakan. Di sinilah, peranan ibu dan bapa amat diperlukan. Sebagai ibu dan bapa, bukan cara yang baik untuk melarang sekeras- kerasnya tindakan anak mereka, tetapi terangkanlah dengan baik dan terperinci tentang risiko sesuatu perkara yang dilakukan oleh anak mereka sebagai seorang remaja.


Sifat keinginan di dalam diri remaja memang sukar untuk dihindarkan. Jika sifat itu merupakan satu sifat yang baik, janganlah dihalang, sebaliknya berikan dorongan. Kajian juga menunjukkan, mereka yang menghisap rokok, menagih dadah, datangnya dari keinginan sendiri di samping disokong oleh rakan- rakan. Perkara ini dapat dielakkan jika mereka diberikan nasihat dan tunjuk ajar oleh ibu bapa mereka. Tetapi bagaimana pula dengan remaja yang porak peranda keluarganya? Oleh itu, masalah keluarga juga merupakan penyebab keruntuhan akhlak. Di sinilah timbulnya rasa bosan, tersisih, tidak cukup kasih sayang dan sebagainya dalam diri remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh sudah acap kali didengari. Tetapi pernahkah kita fikirkan tentang remaja yang tidak dipedulikan oleh ibu dan bapa sendiri? Disebabkan perkara yang remeh sebeginilah anak yang baik boleh berubah. Kadangkala pula, ada yang terus menyalahkan anak- anak mereka seterusnya menghukum mereka. Sebagai seorang ibu atau bapa, anda tidak sepatutnya terkejut. Anda sepatutnya cuba memahami naluri anak anda yang berada di zaman remaja dan carilah di mana silapnya, anak yang baik boleh berubah menjadi jahat.


Seperkara lagi yang biasa dikaitkan dengan remaja adalah cinta. Sudah menjadi lumrah kita mendengar tentang cinta monyet pada zaman remaja. Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh lari dari perasaan ingin disayangi. Apabila diri sudah disayangi, dari situlah datangnya cinta. Kadangkala, baru sekolah rendah pun dah pandai bercinta. Cinta ini ada banyak cabangnya. Jika betul cabang yang dipilih itu, maka indahlah cinta yang dinikmati itu. Cinta yang terpesong ini adalah cinta yang memesongkan akidah seseorang remaja itu. Cinta begini akan hadir sekadar suka- suka atau pun zaman sekarang ni orang kata, “zaman remaja itu zaman nak enjoy.” Oleh sebab itulah begitu ramai remaja yang rosak akhlak disebabkan fakta yang silap ini. Zaman remaja bukanlah zaman nak enjoy, tetapi zaman remajalah zaman di mana seseorang remaja sedang giat mencari ilmu ke menara gading. Bagaimana pun, cinta yang baik perlulah dipandang positif. Tetapi cinta sebegini amat jarang ditemui. Namun jika kita cari yang mana hanya boleh ditemui ‘satu dalam seribu,’ di mana sepasang kekasih sama- sama belajar dan sama- sama berjaya. Cinta beginilah yang baik dan tidak dipandang hina oleh masyarakat, agama dan bangsa. Ada pula demi kekasih, dia sanggup belajar. Ini berlaku kerana segalanya demi kekasih sendiri. Tapi apa akan berlaku apabila mereka berpisah? Inilah yang kita tidak mahu. Dapat kita perhatikan, seseorang remaja itu boleh terjerumus ke lembah hina kerana kecewa bercinta padahal remaja itu merupakan best student. Segala- galanya boleh berlaku kerana cinta. Oleh hal yang demikianlah ianya dipanggil cinta monyet. Cinta monyet ini tidaklah dilarang dan tidaklah digalakkan. Jika ianya tidak menjejaskan akidah seseorang itu, buatlah apa yang difikirkan patut.


Oleh itu, dapatlah disimpulkan, remaja memang merupakan pemimpin negara. Oleh kerana itulah, semua pihak memainkan peranan yang penting untuk mencorakkan remaja masa kini agar remaja yang memimpin negara kelak ialah seorang yang berwibawa. Di dalam hal ini, segalanya bermula dari rumah. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus sedar bahawa anak gadis atau anak teruna mereka kini sudah berada di alam remaja. Seseorang remaja itu tidak patut dikongkong dan tidak pula diberikan kebebasan yang sepenuhnya. Sebagai seorang ibu atau bapa, mereka seharusnya lebih peka akan perubahan sikap anak mereka. Carilah masa yang sesuai, tanyakan jika mereka mempunyai masalah. Haruslah kita ingat bahawa tiada manusia di dunia ini yang akan terlepas daripada dihimpit masalah. Memang sesetengah remaja tidak menunjukkan reaksi mereka mempunyai masalah, tetapi sebagai ibu bapa, anda harus lebih peka. Namun ada juga remaja yang mencari inisiatif yang lain untuk menyelesaikan masalah mereka. Cuba kita perhatikan sekarang ini, budaya ‘family angkat’ sudah menjadi lumrah di kalangan remaja. Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda sepatutnya faham dan jangan sesekali salah sangka tentang hubungan mereka. Tetapi itu tidak bermakna anda perlu biarkan sahaja dengan siapa anak anda berkawan. Bersiap sedialah untuk mendengar cerita abang angkat, kakak angkat atau adik angkat mereka kerana family angkat ini mungkin merupakan orang yang paling rapat dengan mereka.


Oleh itu, di sini, keruntuhan akhlak semakin mencatatkan peratus yang semakin meninggi. Siapakah yang bertanggungjawab? Di dalam hal ini, semua pihak mempunyai peranan masing- masing. Namun segalanya perlulah bermula dari rumah iaitu oleh ibu bapa remaja itu sendiri. Perlulah kita ingat bahawa anak itu merupakan amanat Tuhan dan jagalah mereka sebaik mungkin dan kini mereka di alam zaman remaja. Jangan biarkan anak anda sebagai seorang remaja gagal pada zaman remaja mereka. Tidak dapat dinafikan juga, zaman remaja merupakan zaman yang penuh dugaan dan pancaroba. Sebagai ibu dan bapa, andalah orang penting yang perlu memberikan tunjuk ajar kerana anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya dan kini mereka sudah bergelar seorang remaja.

No comments: